GEREJA ST. JAMES DI SIBENIK
Gereja ini telah dibina di antara abad ke 15 dan 16 oleh dua arkitek dari itali serta seorang arkitek dari dalmatia yang membinanya pada waktu yang berbeza. Francesco di Giacomo dari utara Itali, Georgius Mathei Dalmaticus dari Zadar serta Niccolo di Giovanni Fiorentino dari Florence telah menggabungkan kepakaran serta pengaruh mereka dalam membina kompleks ini yang dibina sepenuhnya dengan menggunakan batu putih dari Pulau Brac. Fakta menarik untuk anda, gereja ini tidak menggunakan sebarang bahan untuk menghubungkan batu-batu tersebut. Terdapat juga ukiran 71 kepala manusia yang terdiri daripada lelaki serta perempuan dewasa dan kanak-kanak. gereja ini merupakan contoh terbaik bagi seni bina Gothic dan Renaissance. Georgius Mathei Dalmaticus juga dikatakan membina empat buah perigi di dataran bersebelahan dengan gereja ini. Perigi-perigi ini merupakan sumber utama air minuman pada Zaman Pertengahan. Berdekatan dengan gereja ini, berdirinya Dewan Bandar Sibenik dan juga Istana Rector. Di hadapan gereja tersebut, terdapat ukiran tugu Georgius Mathei Dalmaticus. Ianya dibuat oleh salah seorang pengukir terkenal Croatia serta artis, Ivan Mestrovic. Gereja ini telah tersenarai dalam senarai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2000.