TROGIR
Trogir tersenarai sebagai salah satu Tapak warisan Dunia UNESCO dan pengiktirafan ini sememangnya layak diberikan kepada bandar ini! Sebaik sahaja anda menyeberangi jambatan kecil, anda akan tiba ke bandar ini yang mendapat julukan sebagai "Bandar Muzium". Sejarah bandar ini telah dipelihara melalui kecantikan seni bina, kelazatan gastronomi serta para penduduknya yang penuh budaya. Bandar ini telah diasaskan serta diberi nama ketika pendudukan pihak Greek. Mereka menamakan bandar ini sebagai Tragurion, yang membawa maksud Pulau Kambing. Di sekitar bandar ini, pelbagai contoh seni bina Gothic, Romanesque dan Renaissance boleh dilihat. Kesemua seni bina ini telah menggunakan batu tempatan. Benteng pertahanan dibina di sekitar bandar lama ini pada sekitar abad ke 13 dan 15. Di dataran utamanya,terdapat "Town Lodge" yang dibina pada abad ke 14 dan di belakangnya, terdapat gereja paling tua di Trogir (abad ke 9), Menara Jam dan Istana Cipiko (terletak berhadapan dengan Dewan Bandar dari abad ke 15). Menara Kamerlengo serta Menara St.Mark (dahulunya dihubungkan dengan dinding) berfungsi sebagai aset penting sistem pertahanan bandar ini dengan menjaga laluan masuk melalui darat serta laut untuk ke bandar ini. Tinggalan pintu pagar bandar ini daripada zaman Renaissance (dibina pada tahun (1593) masih boleh dilihat berserta dengan benteng pertahanan yang masih utuh.